Walaupun tidak tersenarai sebagai orang terkaya di dunia, anak kelahiran Perak,
Kamal Ashnawi (KA) mendakwa beliau kini mempunyai wang simpanan melebihi 5
trilion Euro (RM20 trilion).
Dakwaan kekayaannya itu ditunjukkan dengan mengemukakan
kepada pemberita salinan penyata bank HSBC di London yang seharusnya
membolehkan beliau menjadi individu pertama di dunia bergelar ‘trillionaire’.
Kamal adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sierra
Petroleum (M) Sdn. Bhd. yang pernah mencadangkan projek kilang penapis minyak
mentah di Kedah pada 2005.
Menurut majalah Forbes, Carlos Slim dari Mexico merupakan
manusia terkaya di dunia tahun lepas dengan anggaran kekayaannya mencecah
RM224.7 bilion dan Pengasas Microsoft, Bill Gates menduduki tempat kedua dengan
kekayaan berjumlah RM170 bilion.
“Saya terpanggil untuk tampil bagi menolak segala tuduhan
buruk yang dilemparkan sebelum ini ekoran cadangan projek pada 2005 yang tidak
berjaya dilaksanakan kerana dihalang oleh pihak-pihak tertentu.
“Ini adalah tawaran terakhir saya bagi membantu orang Melayu
dan syarikat-syarikat dengan melaburkan dana dalam tiga projek cadangan di
Perlis, Johor dan Kelantan dalam masa yang terdekat,” katanya pada sidang
akhbar di sebuah hotel di sini semalam.
Katanya, tiga projek yang bernilai trilion ringgit tersebut
ialah projek pelancongan komersial di Kuala Perlis, taman tema berkonsepkan
Pirates of The Carribean di Danga Bay, Johor Baharu, dan projek penempatan
komersial di Kelantan.
Kamal berkata, segala urusan berkaitan tiga projek tersebut
akan diserahkan kepada SAS Group iaitu sekumpulan pelajar alumni Sekolah Alam
Shah yang merupakan bekas sekolah beliau sendiri.
Sejak projek penapisan kilang minyak di Kedah itu tergendala,
katanya, dia lebih banyak menghabiskan masa di luar negara bagi menguruskan
perniagaan.
Menurutnya, beliau akan bermastautin di Hong Kong mulai Mac
ini bersama keluarganya sebelum ke Indonesia beberapa tahun kemudian.
Kamal memberitahu, kekayaan
yang diperoleh berasal daripada warisan diraja menerusi akaun bagi Combined
International Collateral of the Global Debt Facility yang dibuat keluarga
diraja dunia pada 1875.
Dakwanya, beliau juga adalah keturunan diraja dari Jawa,
Indonesia dengan namanya Raden Mas Prabhu Gusti Agung Ki Asmoro Wijoyo dan
dijangka ditabal menjadi Maharaja Indonesia dalam beberapa tahun lagi.
:: Sekaya mana pun kita, Allah lagi Maha Kaya dan Berkuasa. Gunakanlah harta itu kejalan yang diberkahti Allah, pesanan bagi diri saya dan pembaca sekalian::